Semenjak dua menjak ni kecoh pasal coklat yang ada DNA Babi.
Masing-masing mula kalut nak samak mulut la nak cuci darah la. Macam-macam. :)
Nampaknya orang kita lebih cepat dan pantas bertindak jika ada terkait sangkut dengan binatang yang Allah turunkan ke dalam dunia ini dan banyak disebut dalam Al Quran sebagai di antara binatang yang Haram di makan oleh umat Islam.
Di sini, saya ingin kongsikan serba sedikit perkara lain yang haram dimakan (diharap kita semua tidak lupa):
- Riba
- Alkohol
- Rasuah
- Judi
Untuk kali ini, saya cuma ingin menyentuh item pertama iaitu Riba.
Dari segi bahasa, riba membawa maksud pertambahan atau lebihan.
Sewaktu di tingkatan 3 dan tingkatan 5, di dalam subjek Agama Islam Tinggi, topik Riba adalah di antara topik yang saya paling suka pelajari dan saya banyak menjawab soalan berkaitan Riba di dalam kertas soalan SPM. Terdetik di hati saya, untuk tidak mengamalkan Riba sebaik sahaja tamat sekolah dan bekerja. Apa yang saya rancang adalah untuk tidak membuat sebarang pinjaman bank kerana lebihan pinjaman tersebut adalah Riba.
Sewaktu di tingkatan 3 dan tingkatan 5, di dalam subjek Agama Islam Tinggi, topik Riba adalah di antara topik yang saya paling suka pelajari dan saya banyak menjawab soalan berkaitan Riba di dalam kertas soalan SPM. Terdetik di hati saya, untuk tidak mengamalkan Riba sebaik sahaja tamat sekolah dan bekerja. Apa yang saya rancang adalah untuk tidak membuat sebarang pinjaman bank kerana lebihan pinjaman tersebut adalah Riba.
Namun begitu, sebaik tamat pengajian, ternyata saya tidak boleh lari daripada terlibat dengan Riba. Terutamanya dalam bentuk pinjaman kereta, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, simpanan bank dan macam-macam lagi.
Disebabkan kekecewaan tersebut, saya berusaha mencari cara untuk mengatasi masalah ini. Ternyata tidak mudah. Merata tempat saya belajar, pelbagai guru saya menuntut. Saya berperang dengan diri sendiri kerana takut diperangi Allah di akhirat kelak. Ayat-ayat Allah tentang Riba sering membuat saya menggigil ketakutan dan terbayang betapa panasnya api neraka yang menyambar.
Tuntutlah ilmu sehingga ke negara China. Ya! Saya ikut pepatah itu dan saya merantau ke negara China selama 2 tahun.
Tuntulah ilmu sampai liang lahad. Ya! Sehingga kini saya tak berhenti mencari dan terus mencari.
Alhamdulillah, saya sudah temui jawapannya. Insya Allah. Ia sememangnya telah banyak membantu meredakan hati saya yang gundah gulana.
Saya akan kongsikan dalam part yang akan datang. Dengan izin Allah, jika masih dipanjangkan umur, saya cuba kongsikan jejak pengalaman dan usaha untuk mencari ketenangan.
Ayat Al Quran Mengenai Larangan Riba
Firman Allah Surah Al Baqarah, maksudnya:
275. Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
276. Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.
277. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
278. Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba(yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
279. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
280. Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).
281. Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.